Pages

Monday 29 April 2013

Alangkah ~

Oh indahnya


-BISMILLAH-


Saban hari aku melihat dunia dari sudut pandang kaca mata aku. Tiada apa yang indah lagi. Semuanya benar- benar menganggu gugah perasaan dan jiwaku. Detik demi detik, hari demi hari, bulan demi bulan, terus berlalu. Berlalu tanpa seri lagi cahaya indah sang pelangi. Jika ada pun, hanya pada zahirnya sahaja, pada pokok pangkalnya..tidak.

Aku merenung dan terus merenung. Memerhatikan awan berlalu gerak meninggalkan sempadan kawasan halaman rumahku. Melihat burung- burung berkicauan nan merdu dan indah, mempesonakan. Lantas, terbang ke serata arah bagi mencari makanan, seperti biasa. Tidak hilang juga dari tatap pandanganku kanak- kanak riang ceria bermain jongkang jongket di Taman permainan, hanya lebih kurang 250 meter daripada kerusi yang ku duduki ini.

Itulah dunia, dunia itulah yang senantiasa membuatkan hatiku resah dan gundah gelana. Jiwaku sentiasa menangis meronta- ronta, merayu, mengharap, merasa pedih. Terseksa kadang kala sudah lali dengan kamus hidupku. Untuk apa dan mengapa aku merasakan begini? Aku tidak mengerti.

Terpampang di surat khabar. Budaya fitnah menfitnah, seolah- olah perkara biasa sebiasanya kanak- kanak menaiki basikal ke sekolah. Tidak menghairankan. Si A menfitnah si B. Si B walaupun tidak bersalah tetapi pengikutnya pula bertindak luar jangkaan. Hasilnya, suasana haru biru itu semakin lama semakin berterusan. Tidak terkawal. Ketidak kawalan inilah yang membuatkan perkara ini menjadi kebiasaan. Seolah- olah menjadi modal untuk sang penulis mencari nafkah yang halal?

Gejala sosial pula usahlah dibicarakan lagi. Statistiknya benar- benar meruntun jiwa dan meluluhkan hatiku yang melihat. Rasa geram itu membuak- buak. Membuak bagaikan marahnya sang ayah yang melihat sang anaknya dilanggar kejam oleh Geng Mat Rempit yang bertempik riang gembira. Kelihatannya mereka ini benar- benar tewas dengan sang penjahat nafsu. Syaitan yang bersama mereka ini mungkin berdekah- dekah ketawa, sentiasa rindu untuk bersama mereka.

Aku melihat umat terpilih Nabi Muhammad ini benar- benar ambil mudah dan enteng akan hal ini.. Menghantar mesej, sama- sama tersenyum dihadapan handphone antara lelaki dan perempuan yang tiada ikatan nikah yang sah itu satu kebiasaan. Pelik katanya kalau tidak berbuat demikian. Nerd. Lantas daripada suka- suka dan mungkin istilah “alaa,takdepapelah” itu, bermulalah episod- episod pengembaraan kisah hidup yang penuh dengan kekecewaan, keputus asaan dan bermacam bagai.

Kata mereka, perjumpaan itu hanya suka- suka. Sekadar mengisi masa lapang. Walhal, mereka tidak sedar, Sang Raja Penjahat syaitonirrajim itu sedang merangka satu agenda yang lebih besar dan menakutkan. Akhirnya terjadilah suasana yang akhirnya menjadi titik pusingan kencang yang merubah hidup mereka. Sungguh keterlanjuran itu benar- benar membuatkan hidup menjadi gelap, tiada keindahan nan menyeksakan. Eh, bermula hanya dengan apa? Sms sahaja!

Buanglah bayi itu, buanglah! Buanglah sehingga anda sendiri dibuang dengan seribu kali lebih terkutuk, oh mungkin 15 juta kali lebih terkutuk dan hina, dihadapan billionan banjiran manusia di alam akhirat sana, ke dalam gelegakan cairan panas milik api neraka. Dikala itu, sudah lagi tiada lagi rasa excited dan bangga, melumurkan diri dalam kancah kemaksiatan terkutuk itu!

Inilah antara retetan hidup sang manusia di atas dunia ini. Tidak tergambar betapa pilu nya hatiku. Aku kadangkala menjadi lemah tak berdaya melihatkan ini. Risau. Sedih melihat beginilah golongan yang telahpun berjanji mengabdikan diri padaNYA. Oh.

Namun, disebalik semua itu, masih kedapatan perkara yang lebih menyedihkan. Sangat memilukan. Itulah diri ku. Aku berasa sedih apabila melihat diriku hanya bersedih. Hanya merenung memerhatikan. Hanya duduk berbaring di kerusi sofa yang empuk disaluti kulit yang tulen lagaknya. Mungkin, kadangkala solat sunat..itupun dirasakan baik.

Lantas, apa tindakan yang telah aku lakukan untuk ummah?

Berapa kerat masa sahaja telah ku serah dan korbankan untuk benar- benar merawat masyarakat yang telahpun tenat parah itu?

Apa lagi alasan yang boleh aku berikan untuk mengelak daripada diberikan beban amanah untuk meninggikan syiar islam seantero dunia?

Terkadang, mahu juga aku menjadi burung- burung yang bebas bertebaran di langit serba biru. Bebas berbuat apa sahaja dengan izinNYA. Tidak perlu lagi memikirkan masalah- masalah besar, terutamanya masalah penyakit ummah ini. Tidak kurang juga harapanku untuk menjadi kanak- kanak yang suci daripada dosa, kekal dengan umur muda buat selamanya agar tidak terbeban atas diriku dosa yang memberat menjela- jela. Juga menjadi awan yang bebas membentuk cantik, dengan izinNYA, menurunkan hujan ataupun kadangkalanya menyambarkan petir. Bukan kah itu seronok namanya?

Namun aku tahu semuanya mustahil. Harapan semata- mata. Kerna aku inilah aku yang sebenarnya. Mana mungkin Allah menciptakan aku dengan sia- sia? Cepat –cepat diriku beristighfar. Risau lamunan itu akhirnya akan membuatkan diriku menjadi lebih terpesong. Astaghfirullahaa’zim.

Teringat akan daku ayat Quran yang benar- benar menggegarkan! Dari Sang Pencipta Maha Esa, khas untuk aku, anda dan jiwa- jiwa yang mengimani dan meyakini ayat- ayat cintanya:

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasiq (derhaka).” (Al Hadid :16)

Sungguh dan sangat benarlah ayat Allah itu. Apa lagi perkara yang masih aku tunggu untuk aku benar- benar komited dan bersungguh- sungguh dalam menyambung tugasan dakwah warisan nabi- nabi? Wang, harta, pengaruh, pangkat? Amat tertipulah aku sekiranya aku masih lagi berharap dengan penungguan itu.

Telah banyak aku menyingkap kisah Sang-sang legend para sahabat. Nyata mereka benar- benar menghayati dan meyakini apa yang mereka lakukan. Sedikit pun iman mereka tidak tergoyah. Jaminan 100% yang diberikan Allah kepada mereka untuk memasuki syurga nan indah itu tidak sedikit mengurangkan momentum usaha dan gigih mereka, malahan itu menjadi obor semangat untuk mereka terus dan terus melaju ke arah mardhatillah.

Kisah- kisah hebat mereka itu membuatkan aku sering tertanya- tanya..Dimanakah aku pada pandangan mereka? Adakah sudi bagi mereka untuk bersama- sama denganku?

Malu. Aku perasan.

Jauh di sudut hatiku yang paling dalam, aku tahu, Allah tidak akan pernah mengecewakan hambaNYA yang benar- benar ikhlas dalam mencintaiNYA. Oh.








1 comment:

Daiekurangkachak said...

Minta izin share. *Senyum panjang lebar tak mampu describe*